Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menarik balik arahan penggantungan import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia yang berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan penggantungan sementara pada 4 Ogos 2023 itu diambil sebagai langkah
berjaga-jaga sekiranya dakwaan pihak berkuasa Indonesia mengenai penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) pada lembu yang diimport dari Australia itu benar, memandangkan Malaysia turut mengimport lembu dan kerbau dari negara tersebut.

“Keputusan menarik balik sekatan import ini adalah hasil daripada perkongsian laporan penuh siasatan oleh Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia selepas dua sesi perbincangan teknikal bersama DVS,” kata DVS dalam kenyataan di sini hari ini.

Hubungan baik antara DVS dan DAFF telah membolehkan perkongsian maklumat dijalankan secara telus dan terperinci.

DVS ingin memaklumkan kepada para pengimport ternakan lembu dan kerbau dari Australia untuk mengemukakan surat permohonan import dari DVS sebelum membuat permohonan permit.

DVS juga ingin menegaskan semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan bagi memastikan setiap konsainan yang diimport menjalani proses pemantauan yang rapi.

“DVS berharap dengan keputusan menarik semula sekatan import ini memberi kelegaan kepada industri, dan seluruh rakyat Malaysia.

“Di samping itu, DVS turut menghargai keterbukaan DAFF dalam membantu proses penyelesaian isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast