PUTRAJAYA – Peguam Negara baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berazam untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin.
Ahmad Terrirudin yang tiba di pekarangan Jabatan Peguam Negara (AGC) pukul 8.15 pagi berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan untuk melantiknya menggantikan Tan Sri Idrus Harun.
“Insya-Allah-Allah saya akan tunaikan amanah ini sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui media pada hari pertama di Jabatan Peguam Negara hari ini.
Pada Jumaat lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali membuat pengumuman Ahmad Terrirudin dilantik bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.
Mohd Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan Ahmad Terrirudin selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara sekali gus mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.
Terdahulu, Ahmad Terrirudin memulakan tugas rasminya pada pagi ini dengan melakukan daftar masuk kehadiran menerusi sistem dalam talian sebaik tiba pukul 8.15 pagi.
Kehadirannya disambut oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Almalena Sharmila Johan serta ketua- ketua bahagian AGC.
Sebelum ini tiga penyandang terdiri daripada orang luar bermula Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Tommy Thomas dan Idrus sendiri yang masing-masing adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam.
Kali terakhir Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan agensi itu adalah Tan Sri Abdul Gani Patail yang memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015. – MalaysiaGazette