ALOR GAJAH – Dua lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan ketika cuba memasuki perairan negara secara haram melalui perairan Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini malam tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, bot dinaiki tekong dan awak-awak masing-masing berumur 46 dan 22 tahun itu berjaya dipintas pada kedudukan 0.2 batu nautika barat daya pada 11.20 malam tadi.
Menurutnya, ia selepas hasil maklumat risikan mendapati kontak curiga dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) sedang bergerak masuk menuju ke perairan Kuala Sungai Baru pada pukul 10.33 malam.
“Bertindak atas maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan operasi telah diatur gerak ke lokasi dengan bantuan pengesanan dari Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut dan berjaya menjumpai mereka pada pukul 11.20 malam.
“Pemeriksaan ke atas bot gentian kaca warna kelabu menggunakan satu enjin Mercury 60 kuasa kuda, mendapati tekong dan seorang awak-awak warganegara Indonesia itu gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mereka didapati memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan sebelum ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















