Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes SRC International Sdn Bhd. (SRC) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuktikan kerajaan yang ada bebas dan tidak campur tangan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan RCI-SRC demi keadilan terhadap bekas perdana menteri itu.

Mohd. Puad malah mengingatkan bahawa tindakan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membuktikan terdapatnya pendakwaan terpilih serta sikap terburu-buru kerajaan terdahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu berkata, beberapa hakim yang memberi komen berhubung kes berkenaan memperlihatkan mengapa RCI-SRC harus ditubuhkan dengan segera.

“Kerajaan didesak menubuhkan RCI terhadap kes SRC. Walaupun Najib sudah setahun dipenjarakan kerana kes tersebut tetapi demi keadilan, RCI-SRC wajar dipertimbangkan.

“Komen Yang Amat Arif (YAA) Tun Hamid Mohamad, YAA Tan Sri Abd Rahman Sebli dan YA Hamid Sultan Backer terhadap kes SRC menguatkan lagi keperluan RCI-SRC.

“Najib tidak diberikan perbicaraan adil. Antara alasan pendakwaraya mohon Zahid dilepaskan ialah pendakwaan terpilih, terburu buru dan RCI Tommy Thomas. Ia ada merit dengan kes SRC Najib,” kata Mohd. Puad.

Pada 1 April lalu Abdul Rahman yang merupakan Hakim Besar Sabah dan Sarawak berkata, panel Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini mungkin tidak berlaku adil terhadap Najibsemasa ia mendengar dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu terhadap sabitan serta hukuman dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Ini apabila Najib tidak diwakili secara sah, kata hakim tunggal yang menentang keputusan majoriti menolak rayuan Najib.

Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkata, sehubungan itu beliau berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Najib adalah dibebas dan dilepaskan.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pula mendakwa perbicaraan yang dihadapi NajibĀ  khususnya dalam kes SRC International telah menyaksikan banyak kontroversi.

Beliau hairan kerana sejak dari mula lagi tiada hakim kanan yang mendengar kes tersebut walaupun ia merupakan amalan yang lazim di mahkamah untuk kes-kes berprofil tinggi.

Sementara itu Mohd. Puad berkata, beberapa insiden melibatkan kes SRC itu juga mewajarkan supaya RCI diadakan dengan kadar segera.

“Kebocoran memo AGC (Jabatan Peguam Negara) tahun 2019 dan hasil siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terhadap Hakim Nazlan juga rasional RCI-SRC ini diwujudkan.

“RCI-SRC akan jadi bukti kerajaan bebas dan tidak campur tangan bahkan komited memulihkan imej sistem keadilan yang rosak oleh Tun M (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan (Tan Sri) Muhyiddin,” tegas Mohd. Puad.

Pada 6 April lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan bahawa Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Beliau juga mengesahkan yang Hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini merujuk kepada surat Azalina bertarikh 20 Mac 2023 yang dihantar kepada firma guaman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu Shafee & Co, yang mewakili Najib berdasarkan salinan laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh sama yang diterima daripada agensi itu.

Beliau dimaklumkan oleh SPRM berhubung perkara itu melalui surat bertarikh 21 Februari 2023.-MalaysiaGazette