Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil meyerahkan sumbangan pada Majlis Ramah Mesra MADANI dan Penyampaian Bantuan kepada Nelayan Pelabuhan Klang Bersama di Dewan Perkampungan Orang Asli Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto QURRATU AINI, 10 SEPTEMBER 2023.

PELABUHAN KLANG – Seramai 29 nelayan dari kalangan Orang Asli Pulau Indah dekat sini, menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan – Insentif, Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point).

Bantuan berbentuk jaringan senangin, tong ikan 50 liter, jaket keselamatan dan bakul makanan itu disampaikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil.

Dalam program itu juga, Faiz menasihatkan nelayan Orang Asli agar menggunakan peralatan itu sebaik mungkin untuk menambah pendapatan keluarga dan tidak menjualnya kepada pihak lain.

Katanya, walaupun bantuan peralatan itu baharu, tetapi tidak mustahil ia akan mengalami kerosakan apabila digunakannya.

“Namun, LKIM berpuas hati sekiranya kerosakan itu berlaku disebabkan mereka menggunakannya untuk menangkap ikan bagi menambah pendapatan keluarga.

“Nelayan yang menerima peralatan itu adalah mereka yang menjadi ahli kepada Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang (PNKPK),” katanya pada majlis ramah mesra Madani dan penyampaian bantuan kepada nelayan Pelabuhan Klang dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah LKIM Selangor, Siti Hawa Delaila Tukiran, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pegawai dan Kakitangan LKIM, barisan Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pelabuhan Klang serta nelayan Pelabuhan Klang.

Bantuan yang disampaikan itu ialah masing-masing 29 set jaring senangin, tong ikan 50 liter, jaket keselamatan dan bakul makanan yang bernilai keseluruhan RM31,030.

Menurut Faiz, semua peralatan itu bagi membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan bagi meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup mereka.

Selain itu, katanya, bantuan itu juga bagi meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Faiz menegaskan, nelayan akan lebih proaktif dalam usaha memodenkan teknik penangkapan ikan dengan menguasai teknologi perikanan terkini.

“Ia bertujuan bagi membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan, sekali gus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi nelayan.

“LKIM antara agensi kerajaan bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang sentiasa mengambil berat soal kebajikan dan kepentingan nelayan.

“Selain aspek itu, kita juga menguruskan lesen untuk mengelakkan nelayan ke laut secara tidak sah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan nelayan bahawa kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinetnya tidak pernah meminggirkan nelayan, malah sepanjang masa mengerahkan fikiran untuk memajukan kehidupan golongan itu. – MalaysiaGazette