KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan pelaksanaan Program Subsidi Bersasar secara sepenuhnya akan bermula pada tahun depan.
“Kaedah sama ada menerusi pindahan tunai atau pemberian kad akan diputuskan dari semasa ke semasa. Keutamaan kita sekarang maklumat isi rumah lengkap dulu dalam PADU,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di lobi Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum itu, Anwar dalam pembentangan KSP RMK12 memberitahu, kerajaan prihatin terhadap kekhuatiran sebahagian rakyat yang terbeban akibat kos sara hidup yang semakin menekan.
Tegasnya, kerajaan bertekad untuk menambah baik mekanisme penyampaian Subsidi Bersasar sebagai satu daripada anjakan utama Ekonomi Madani.
Menurut beliau, kerajaan memikul amanah untuk membela rakyat bawah pemerintahannya, khususnya rakyat yang kurang berkemampuan.
“Justeru, mekanisme subsidi bersasar bertujuan untuk memastikan nasib golongan tersebut terbela dan mendapat limpahan manfaat daripada bantuan yang disalurkan.
“Penstrukturan semula subsidi elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain juga akan dilakukan demi memastikan pengurusan fiskal yang lebih berhemat dan mengurangkan herotan ekonomi
“Jaminan diberikan bahawa rakyat yang kurang bernasib baik kekal menjadi keutamaan
Kerajaan untuk diselamatkan dan akan terus dibantu,” katanya.
Perdana Menteri menambah, pengagihan subsidi dan bantuan secara bersasar kepada rakyat akan diselaraskan melalui PADU yang berteraskan data isi rumah bagi meningkatkan kecekapan dan pemantauan bantuan kerajaan.
“Penjimatan daripada subsidi yang lebih bersasar akan dapat diagihkan semula bagi tujuan projek pembangunan dan program rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette