Amira Aisya Abd Aziz

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan ditempatkan sebaris di blok Perikatan Nasional (PN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Khamis ini.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberitahu, iai diputuskan berikutan  kenyataan media yang dikeluarkan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, keputusan berkenaan dibuat berikutan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Johor, Chen Kah Eng.

“Dimaklumkan berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Presiden MUDA dan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Johor, Chen Keh Eng (Stulang), tempat duduk ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz akan dipindahkan sebaris dengan blok pengimbang PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Puad yang juga ADUN Rengit memberitahu, sidang kedua DUN Johor ke-15 bagi masyurat ketiga penggal bermula pada Khamis ini juga akan menyaksikan Majlis Angkat Sumpah ADUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman yang baharu sahaja memenangi Pilihan Raya Kecil baru-baru ini.

Sebelum ini, MUDA memaklumkan akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette