KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dua suspek utama kes samun yang berlaku di Taman Sentosa, Klang pada 25 Ogos lalu.

Suspek yang dikehendaki adalah Puvaneswaran A/L Muniadny, 31 tahun dan Suresh A/L Arasamy, 38.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, sehingga kini seramai tiga orang suspek telah ditangkap di beberapa lokasi berasingan.

Katanya, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan pada 29 Ogos yang lalu.

“Tangkapan terhadap dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan yang berumur lingkungan antara 24 hingga 37 tahun,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Hoong Fong, tangkapan dilakukan susulan siasatan samun yang mendatangkan kecederaan di sebuah kedai di Taman Sentosa.

“Lebih kurang 5.45 petang, telah datang dua orang suspek merupakan lelaki menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna putih.

“Suspek telah masuk ke dalam kedai dan menetak salah seorang mangsa yang merupakan warganegara asing dengan parang dan membawa lari sebuah kotak kecil yang mengandungi wang tunia ssebanyak RM1,000,” jelasnya.

Cha berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette