Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) kini memiliki 74 Ahli Parlimen dan 208 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di peringkat Persekutuan serta negeri yang membentuk satu blok suara yang besar dan kukuh dalam sistem demokrasi di Malaysia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zanudin berkata, sekiranya dicampur undi sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, seramai 8,064,240 juta pengundi telah memilih PN menerusi sokongan besar rakyat yang diberikan secara jujur dan ikhlas.

Beliau berkata, seramai 3,382,455 juta pengundi yang telah mengundi calon-calon PN dalam PRN pada 12 Ogos lalu yang menyaksikan parti gabungan itu menang besar di Terengganu, Kedah dan Kelantan.

“Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada 3,382,455 juta pengundi yang telah mengundi calon-calon PN dalam PRN pada 12 Ogos lalu, yang menyaksikan kami menang besar di Terengganu, Kedah dan Kelantan manakala peningkatan sokongan yang amat hebat di Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.

“Kami menang 146 kerusi daripada keseluruhan 245 kerusi DUN yang dipertandingkan dan sokongan ini membuktikan majoriti rakyat kukuh serta yakin dengan PN.

“Gelombang yang diperlihatkan melalui kertas undi khususnya dalam kalangan orang Melayu, jelas memperlihatkan bahawa rakyat mahukan perubahan dan rakyat mahukan kerajaan yang lebih responsif kepada isu-isu yang dihadapi dan paling penting tiada siapa boleh menafikan bahawa ia merupakan referendum rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata,  sokongan rakyat tidak akan melalaikan PN dan keluarga besar parti gabungan itu akan terus menjadi payung yang peka dan cakna kepada setiap denyut nadi serta keluh kesah rakyat.

Menurut beliau, setiap permasalahan rakyat juga merupakan perjuangan PN yang mengutamakan agenda rakyat bagi membela masa depan yang lebih baik, aman dan sejahtera.

“PN akan kekal istiqamah dan gagah dalam menjulang obor perjuangan suci demi agama, bangsa dan negara tanpa dibeza kan dengan batas warna kulit mahu pun kaum.

“Kami akan buktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Perikatan Nasional ini sarat dengan roh perjuangan yang murni.

“Nilai kepimpinan kami berteraskan amanah dan integriti,” katanya.

Semalam, KSP RMK12 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan jumlah siling perbelanjaan RMK12 akan ditambah sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion.

Hari ini, pembentangan KSP RMK12 diteruskan dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen selama tiga hari diikuti jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 dan 19 September ini. – MalaysiaGazette