Shahrul terharu kerana pempengaruh, Aisar Khaledd sudi membelikan motosikal baharu baginya.

KUALA LUMPUR – Motosikal penghantar makanan, Muhammad Shahrul Shah Abu Bakar disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan kerana tidak dilindungi insurans.

JPJ Negeri Sembilan dalam kenyataannya berkata, pihaknya berbuat demikian bagi melindunginya dan pengguna jalan raya lain.

Video penghantar makanan berjalan kaki selepas motosikalnya disita tular di media sosial sehingga mengundang perhatian ramai.

Bagaimanapun Muhammad Shahrul mengakui apa yang berlaku kerana kesilapannya sendiri yang tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans.

Dalam laporan Harian Metro, lelaki berusia 26 tahun berasal dari Sungai Pelek, Sepang itu ditahan dan motosikalnya disita dalam operasi di Jalan Persiaran Negeri di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira 12 tengah hari kelmarin.

“Saya akui memang salah saya, jadi terima saja hukuman malah anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran.

“Saya akur, tak melawan malah beri kerjasama dengan serahkan kunci serta motosikal kepada pihak berkuasa untuk disita,” katanya.

Kisahnya mendapat perhatian selepas tular gambar dan video 17 saat berjalan sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya disita penguat kuasa JPJ.

Dalam pada itu, Shahrul menafikan dakwaan beliau berjalan sejauh empat kilometer tanpa selepas motosikalnya disita.

Menurutnya, ada rakannya menolong dan menumpangkannya di satu lokasi.

“Itu semua tak benar kerana saya tak berjalan sejauh itu dan ketika kejadian, saya dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan. Tapi mungkin ada yang buat penilaian berdasarkan gambar dan video tular,” katanya.

Dalam masa yang sama, bapa dua anak itu terharu kerana pempengaruh, Aisar Khaledd sudi membelikan motosikal baharu baginya.

Aisar pula berkata, beliau terpanggil membantu Shahrul bagi memudahkannya meneruskan pekerjaan sebagai penghantar makanan.

“Kita beri kejutan motosikal kepada abang penghantar makanan yang motosikalnya disita pihak berkuasa. Terima kasih semua yang mendoakan. Demi Malaysia,” tulisnya di Facebook. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast