KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Sabah menafikan dakwaan kononnya bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman akan mengetuai blok politik itu dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan mahupun diputuskan pihaknya dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah.
“PH Sabah secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ianya tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat Pakatan Harapan Sabah.
“Mana-mana keputusan mustahak berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat seharusnya dipertimbang, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan PH Sabah,” katanya dalam satu kenyataan kenyataan bersama pemimpin PH Sabah, hari ini.
Antara kenyataan bersama itu melibatkan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick; Pengerusi PKR Sabah, Datuk Sangkar Rasam; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu.
Terdahulu, media melaporkan terdapat desas-desus bahawa bekas Ketua Menteri itu akan kembali menerajui negeri tersebut.
Media turut melaporkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mencari jalan untuk meletakkan ahli politik veteran itu sebagai peneraju PH di Sabah.
Dalam pada itu, Christina berkata, pihaknya membuat perjumpaan bagi membincangkan persediaan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“PH Sabah akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincang perkara ini termasuk halatuju PH Sabah menjelang PRN yang bakal diadakan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette