Peserta menerokai kehijauan UUM dan mengunjungi Taman Rusa, UUM

SINTOK – UUM menjadi salah satu hos Universiti Awam (UA) di Malaysia bagi program yang dianjurkan oleh Education Malaysia Australia (EMA) dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS).

Antara universiti Australia yang turut serta ialah The University of Queensland, La Trobe University, Queensland University of Technology, University of Tasmania, Edith Cowan University, University of Canberra dan University of Southern Queensland.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan ketika menyambut kedatangan delegasi berkenaan di Anjung Tamu UUM turut mengalu-alukan rombongan berkenaan dan mengharapkan mereka akan selesa sepanjang berada di UUM.

Delegasi menyelami gaya hidup masyarakat di Kampung Lebai Saman, Kuala Nerang

“Sempena 40 tahun usia UUM pada tahun depan, kita mengharapkan Tahun Melawat UUM akan meriah dengan kehadiran pelajar dan warga pendidikan tinggi Australia untuk program mobiliti mahupun EduTourism ke utara, khususnya ke UUM.

“Kami di sini sangat senang hati dengan kehadiran pelajar Australia supaya dapat membuat jaringan dengan pelajar tempatan yang akhirnya mewujudkan kerjasama serta saling memahami perbezaan budaya di generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah, Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar berkata, penganjuran program FAM Visit 2023 ini merupakan salah satu usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengukuhkan peranan Malaysia sebagai “the lynchpin” untuk menarik kedatangan pelajar, penyelidik dan bakat global.

“FAM Visit 2023 melibatkan wakil daripada 14 buah universiti Australia yang akan melawat beberapa buah UA terpilih di Malaysia yang bertindak sebagai hos UA. Para delegasi daripada 14 buah universiti Australia dan UA yang terpilih sebagai hos dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Zon Utara dan Zon Pantai Timur,” ujarnya.

Delegasi mencanting batik di Kampung Lebai Saman, Kuala Nerang.

FAM Visit 2023 merupakan platform terbaik kepada UUM untuk mempromosikan program mobiliti jangka panjang, program mobiliti jangka pendek seperti Summer Xchange @UUM dan program EduTourism kepada para delegasi tersebut. Lawatan itu juga boleh meningkatkan usaha dan kerjasama strategik antara universiti di Australia dan Malaysia, khususnya dalam program mobiliti dan penyelidikan.

“UUM berharap lawatan ini memberikan pengalaman kepada para delegasi seterusnya mereka akan mempromosikan UUM di universiti masing-masing untuk menjalankan program melalui pembiayaan dan tajaan oleh Kerajaan Australia di bawah program New Colombo Plan (NCP) 2025.

“Dengan penyertaan UUM sebagai salah satu hos UA, UUM dapat membina jaringan baharu dengan universiti-universiti dari Australia tersebut,” katanya.

CIAC dengan kerjasama Pusat Pengajian/Pusat Tanggungjawab telah merangka beberapa kategori program Summer Xchange @UUM untuk aktiviti mobiliti jangka pendek seperti Summer Research Xchange selama 2 bulan, Summer Hybrid Research Xchange (4 minggu) dan Summer Cultural Xchange (4 minggu).

Sementara itu, Sponsored Mobility Project Officer dari The University of Queensland, Katie Smith berbesar hati dengan sambutan yang diberikan UUM yang menerima kunjungan delegasi bermula pada 10 dan 11 September dan sentiasa komited memastikan kelancaran aktiviti yang dirancang sepanjang program.

Menerusi kunjungan ini para delegasi dapat mengenali Malaysia dengan lebih dekat, meningkatkan usaha dan kerjasama strategik antara universiti di Australia dan Malaysia serta memberikan pengalaman berharga kepada delegasi di samping mendapat input mengenai peluang program mobiliti, pendidikan dan penyelidikan yang ditawarkan.

Delegasi turut berpeluang mengunjungi beberapa destinasi menarik dan menyelami gaya hidup masyarakat antaranya di Pekan Rabu, Alor Setar, Kampung Lebai Saman, Kuala Nerang dan Kuala Perlis di samping menerokai kehijauan UUM. Kenangan yang tercipta sepanjang lawatan mereka akan kekal sepanjang hayat dan diharap akan turut dikongsi bersama pelajar mereka di Australia kelak.

Selepas lawatan UUM selama dua hari ke UUM, para delegasi akan meneruskan program FAM Visit 2023 bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast