Orang ramai berarak dari Masjid Jamek Kampung Baru menuju ke Sogo pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023.

SEREMBAN – Himpunan Selamatkan Malaysia di Kuala Lumpur semalam dilihat sebagai serangan ‘tembok terakhir’ terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan setelah gagal melakukan pelbagai desakan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, himpunan anjuran pembangkang itu juga tidak membawa sebarang isu rakyat, sebaliknya menjurus kepada serangan peribadi terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

“Kalau kita lihat sebelum ini ada begitu ramai ahli politik yang sudah dibebaskan daripada pendakwaan tapi Zahid ini berbeza kerana beliau Presiden UMNO yang menjadi tunjang kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Pembangkang melihat beliau adalah pertahanan utama dan serangan ‘tembok terakhir’ ini jika mereka merasakan dapat lakukan, akan tumbanglah kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Asna Amin

Mengulas lanjut Mohd Asna berkata, pembangkang melihat desakan untuk menumbangkan Presiden UMNO itu sekaligus akan menyaksikan perubahan besar dalam parti keramat Melayu tersebut.

Semalam, beberapa pemimpin pembangkang menyertai lebih 1,000 orang ramai berarak menerusi Himpunan Selamatkan Malaysia yang dianjurkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di ibu negara.

Himpunan itu adalah bagi membantah tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette.