52 kakitangan wanita UTHM yang berjay atawan Gunung Kinabalu.

KOTA KINABALU – Seramai 52 staf wanita Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu ‘Most Women Participants to Climb Mount Kinabalu’ setelah berjaya menawan Gunung Kinabalu petang kelmarin.

Pendakian selama hampir 24 jam itu diakhiri dengan pengibaran bendera universiti sempena sambutan 30 tahun UTHM serta pengibaran bendera Johor dan Malaysia bersempena sambutan Hari Malaysia.

Menurut Pengarah Program Wanita Kinabalu, Ts. Dr. Nur Kamilah Yusuf walaupun ada waktunya mereka terpaksa meredah hujan, namun berkat semangat juang para pendaki, mereka akhirnya berjaya menawan Gunung Kinabalu.

Tambah beliau, program pendakian yang diadakan sempena sambutan 30 tahun UTHM itu bertujuan membudayakan hidup sihat dalam kalangan wanita berkerjaya yang berumur antara 20 hingga 50-an.

Selain itu, program itu juga bertujuan berkongsi manfaat bersama warga universiti dan komuniti setempat melalui penganjuran beberapa siri tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus sebagai usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 di bawah agenda pemerkasaan wanita (SDG 5: Gender Equality).

Jelas Kamilah lagi, di bawah Program Pendakian Wanita Kinabalu, pihaknya turut menjalankan beberapa program sampingan lain seperti slot perkongsian ilmu berkaitan kemiskinan haid dan aktiviti CSR melibatkan tiga kawasan iaitu Kampung Orang Asli Kangkar Senangar, Parit Sulong, Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing dan Kampung Semuruh, Kundasang.

“Sebelum pihak kami memulakan pendakian pada 15 September, Yayasan UTHM bersama alumni UTHM dari Politeknik Kota Kinabalu telah mengadakan aktiviti CSR melibatkan kerja-kerja gotong royong bersama penduduk, forum berkaitan kemiskinan haid dan penyerahan tuala wanita guna semula sumbangan daripada Athena Holding kepada penduduk setempat yang memerlukan,” katanya.

Kamilah mewakili UTHM turut melahirkan penghargaan beliau kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan Program Pendakian Wanita Kinabalu itu sehingga berjaya mencatatkan rekod baharu dalam MBOR.

“Pihak kami sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada pihak Sabah Park, Taman Kinabalu, Persatuan Malim Gunung Kinabalu, porter, pasukan perubatan Pusat Kesihatan Universiti bersama dua doktor pakar sakit puan dari Hospital Pantai Batu Pahat dan Hospital Gua Musang serta kru RTM yang banyak membantu merealisasikan misi ini,” katanya. – MalaysiaGazette