Tertuduh, Mohd. Affizzu Che Aziz, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ketika cuba meleraikan pergaduhan jirannya dengan dua lelaki tahun lalu.

MELAKA – Seorang anggota tentera berpangkat pegawai waran didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ketika cuba meleraikan pergaduhan jirannya dengan dua lelaki tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Affizzu Che Aziz, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap dua lelaki masing-masing berusia 37 dan 26 tahun, menggunakan objek tajam, disyaki sebilah pisau (dagger).

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam di Blok C Pangsapuri Cheng Ria, dekat sini, pada 16 Oktober 2022.

Bagi perbuatan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas jiran tertuduh menegur kedua-dua lelaki terbabit yang dipercayai mabuk dan membuat bising di bawah pangsapuri berkenaan.

Berang dengan teguran itu, kedua-dua lelaki berkenaan naik ke tingkat atas menuju ke rumah jiran tertuduh sebelum tertuduh yang melihat pergaduhan itu cuba meleraikannya sehingga didakwa telah mendatangkan kecederaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari dan Muhamad Nazrin Ali Rahim mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM35,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Omar Zulkarnain merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pegawai waran di Kem Sungai Udang serta menanggung dua isteri dan enam anak termasuk tiga yang masih kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 berserta syarat tambahan tidak boleh menghubungi mangsa atau saksi pendakwaan serta melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, sekali sebulan. – MalaysiaGazette