Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menolak kemungkinan akan berlaku kenaikan kos bagi projek kapal tempur pesisir (LSC) kerana tersadai terlalu lama.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta semua pihak termasuk Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong berdoa agar wayar yang berada di dalam kapal berkenaan tidak digigit oleh tikus.

“Mari kita berdoa bersama-sama supaya tikus tidak gigit wayar tersebut,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).

Ikmal Hisham sebelum itu melahirkan kebimbangan mengenai keadaan semasa kapal-kapal LCS yang telah tersadai lama sebelum ini.

“Bila duduk di tepi laut, kita tahu mesti besi sudah berkarat. Apatah lagi tersadai lama di laut. Mungkin tikus gigit wayar itu? Ini akan menyebabkan kos naik berkali ganda,” katanya ketika membuat celahan ketika Mohamad menggulung dalam sesi penggulungan Kementerian Pertahanan bagi laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, baki enam peratus lagi pembinaan reka bentuk bagi kapal LCS bukanlah melibatkan sesuatu yang mustahak.

Jelas beliau , jumlah kecil itu hanya melibatkan pembinaan dek kapal sahaja.

“Enam peratus itu tidak merupakan sebagai design yang genting atau pun yang mustahak. Enam peratus itu adalah diatas permukaan air sahaja. Yang design di bawah permukaan air semua sudah siap. Enam peratus ini tidak penting sangat kerana ia merupakan design deck di atas permukaan air,” katanya lagi.

Pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi kontroversi selepas pendedahan  projek berkenaan sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 namun hanya siap 53.29 peratus sahaja setakat 31 Mei 2019.

Media sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu itu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Oktober tahun lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan berkata, pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette