KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia bersedia untuk membantu pihak berkuasa polis negeri Gujarat, India untuk mengesan dan mendapatkan lima suspek lelaki warganegara Malaysia yang dikehendaki selepas disyaki terlibat dalam kes jenayah komersial membabitkan mangsa negara tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya akan bekerjasama sekiranya menerima permintaan rasmi dari India.
“Hasil semakan dengan pihak Interpol mendapati, PDRM tidak ada menerima sebarang permohonan bantuan daripada pihak India untuk mengesan individu- individu yang dinyatakan di dalam artikel tersebut.
“Sekiranya ada permintaan rasmi, kami akan membantu mereka (mengesan empat suspek Malaysia).
“Ini kerana kesalahan jenayah walaupun melibatkan warga kita berlaku di negara lain, ia masih merupakan satu jenayah yang perlu kerjasama antarabangsa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini malam tadi.
Semalam media di India melaporkan Polis Gujarat sedang giat menjejaki seorang ‘Bos Besar’ warga Malaysia yang dikenali sebagai Tan Chee Keat @ Kenny dan empat rakan senegaranya.
Pihak berkuasa Gujerat itu memulakan siasatan dan memburu lima warga Malaysia itu rentetan kes sejumlah wang Rs33 crore (bersamaan 330 juta rupee) didapati telah ‘mengalir’ daripada beribu-ribu akaun bank di dua daerah Saurashtra, Gujerat ke Kuala Lumpur.
Siasatan awal Polis Gujerat mendedahkan kes penipuan itu didakwa membabitkan seorang warga China yang disyaki mengakibatkan seramai 1,175 individu menjadi penipuan di Gujarat kepada sindiket berkenaan melalui aplikasi pertaruhan bola sepak Ponzi.
Berikutan itu satu laporan maklumat pertama baharu difailkan oleh Polis Gujerat terhadap 15 individu, termasuk lima warga Malaysia itu.
Sindiket itu dituduh mengatur skim yang membabitkan penciptaan akaun bank palsu di daerah Rajkot dan Veraval bagi melakukan penipuan serta pengubahan haram terhadap wang diperoleh secara tidak sah melalui permainan dan pertaruhan dalam talian.
Malah, sindiket berkenaan juga didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram yang mencecah jumlah setinggi Rs33 crore.
Sumber utama Polis Gujarat memaklumkan siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti bilangan individu yang telah terperdaya dengan janji pulangan lumayan sindiket scam itu untuk pertaruhan yang dilakukan melalui aplikasi tersebut.
Skuad Anti-Pengganas (ATS) Polis Gujarat telah membongkar scam terbabit selepas menerima maklumat pada 12 Ogos lalu yang mendakwa seorang NRI (orang India bukan residen) yang berpangkalan di Malaysia bernama Rohit Vadher; warga Malaysia, Chua Ming Ho @ Robin; bersama seorang penduduk Sutrapada di Gir Somnath, Mahek Chhag, menipu orang ramai melalui aplikasi perjudian dan pertaruhan itu.- MalaysiaGazette