Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung seorang ustaz yang mendakwa dirinya difitnah menerusi satu rakaman bertajuk ‘The Mondy Tattoo Interview’ yang dimuat naik di media sosial beberapa hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt. Mohd Fairus Jaafar berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen
500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hasil siasatan yang telah dijalankan mendapati video tersebut telah mendapat 225,177 jumlah tontonan, 2.6 ribu tanda suka dan 2.8k komen.

“Video memaparkan wawancara yang dikatakan telah memfitnah individu terkenal tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Fairus menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian video yang tular di media-media sosial.

Tegasnya, jika didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada. – MalaysiaGazette