Najib orang UMNO Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan berulang boleh berlaku sekiranya Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat keputusan untuk menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan kes pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM27 juta.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, kes tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada kes SRC International sebelum ini yang melibatkan dana RM42 juta.

Menurut beliau, kes itu sudah selesai serta melibatkan isu dan saksi-saksi yang sama, sekali gus menyebabkan perbicaraan berulang yang bercanggah dengan Perkara 7 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi ia menjadi kes berasingan atas kesilapan teknikal bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan juga ketidakinginan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk menyertakan tuduhan-tuduhan ini dalam kes SRC RM42 juta sebab dia tidak mahu kes tersebut diperlambatkan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Pada 31 Julai lalu, Najib telah menghantar surat representasi kepada AGC untuk menggugurkan tiga pertuduhan tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, sehingga kini. kes melibatkan dana RM27 juta milik SRC International itu tidak pernah dibicarakan sejak Najib didakwa pada Februari 2019.

Beliau menambah, pihak pendakwaan berulang kali meminta penangguhan kes selama hampir lima tahun.

“Kali terakhir kes ini disebut ialah pada 18 Ogos lalu di mana pendakwaan meminta hakim untuk menangguhkan kes sehingga 1 Disember lalu dengan alasan mereka perlukan lebih masa untuk pertimbangkan surat representasi Najib untuk gugurkan kes,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, AGC masih belum membuat keputusan sama ada untuk menerima atau menolak surat representasi Najib untuk menggugurkan kes tersebut.

“Namun sekiranya kes SRC RM27 juta ini diteruskan maka ia juga membuka peluang kepada peguam Najib untuk masukkan bukti-bukti baharu yang berulang-kali ditolak oleh hakim-hakim dalam kes SRC RM42 juta yang telah menghukum Najib,” katanya. – MalaysiaGazette