Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bercakap kepada media selepas memberi keterangan kepada pihak polis berkaitan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Lebih banyak siri Himpunan Aman Selamatkan Malaysia akan diadakan jika kerajaan gagal membuat siasatan semula terhadap kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Himpunan pada Sabtu lalu itu hanya permulaan, lebih banyak himpunan kita akan buat jika kes DNAA Timbalan Perdana Menteri itu diabai kerajaan. Rakyat berhak persoal dan tahu hal sebenar,” kata Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

Beliau berkata demikian selepas menjadi salah seorang daripada 10 individu yang dipanggil ke IPD Dang Wangi hari ini bagi memberi keterangan berkaitan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, kelmarin.

Tun Faisal Ismail Aziz bersama beberapa individu lain termasuk peguam selesai memberi keterangan.

Turut dipanggil ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin.

Jelasnya, beliau hairan tujuan pihak polis memanggil mereka pada hari ini kerana berpendapat semua rakyat berhak berhimpun selari dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya tidak nampak ada pertembungan antara peserta dengan polis seperti demonstrasi zaman dulu, berbeza dengan himpunan aman kita buat yang tiada adegan baring-baring di jalan raya atau kereta polis terbalik. Himpunan ini memang aman, polis tidak jentik kita dan kita pun tidak jentik polis,” ujarnya.

Bagaimanapun, Tun Faisal akur dengan siasatan yang dibuat pihak polis dan memberikan kerjasama dengan baik.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan 25 individu yang terlibat dalam himpunan itu dipanggil memberi keterangan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 4(2)(b), Seksyen 4(2)(e) dan (f) akta sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau jadi, buatlah secara teratur, hebahan kena menyeluruh dan awal untuk para peserta membuat persediaan.

    Senang2, InsyaAllah ratusan ribu akan hadir.

Comments are closed.