Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak pada Isnin depan.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas itu diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN tersebut.

“Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.67
Jepak, Sarawak, perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.67 Jepak, Sarawak pada 25 September 2023 (Isnin),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ikmalrudin memberitahu, mesyuarat Khas berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi SPR
Tan Sri Abdul Ghani Salleh, Pengerusi SPR, yang mana tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi
melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan.

Tambahnya, satu sidang media akan turut diadakan sejurus selepas mesyuarat
khas tersebut.

Jumaat penyandang kerusi DUN Jepak, Datuk Talib Zulpilip, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.50 petang ekoran komplikasi buah pinggang.

Allahyarham adalah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast