Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya mengalami trend kenaikan penghutang pelajar sebanyak RM 51.20 juta pada 30 Jun 2023 berbanding pada 31 Disember 2022 (RM47.33 juta).

Oleh itu, pihak universiti yakin pelaksanaan Polisi Kutipan Hutang Pelajar atau Zero Balance Policy yang dilaksanakan pada tahun 2021 mampu membantu usaha universiti dalam menangani isu penghutang pelajar yang dihadapinya.

Universiti Malaya yang menjawab pelaksanaan isu ini yang diketengahkan oleh pelajar termasuk Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) berkata, polisi berkenaan dilaksanakan berdasarkan kepada empat ketetapan.

Menurutnya, bagi pelajar yang berhutang di bawah tajaan, pendaftaran untuk semester berkenaan adalah dibenarkan namun menjadi tanggungjawab pelajar berkenaan untuk memastikan pihak penaja membuat penyelesaian hutang tersebut.

Justeru, pelajar di bawah tajaan boleh berhubung secara terus dengan pihak Jabatan Bendahari Universiti Malaya dalam perkara-perkara yang melibatkan yuran tajaan dan perihal pendaftaran.

Selain itu, Universiti Malaya juga mendapati hanya kurang dari empat peratus pelajar yang berkemungkinan terkesan kerana tidak mengemas kini status penajaan atau mempunyai tajaan/bantuan pendidikan atau benar-benar memerlukan bantuan kewangan.

Bahkan, Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (BHEP) akan menyelaras sebarang rayuan untuk permohonan bantuan kewangan tertakluk kepada kelayakan.

Tambahnya, pelajar dalam kategori ini juga dibenarkan mendaftar dan perlu menyelesaikan baki yuran sebelum minggu ketujuh sesi akademik untuk Semester 1 2023/2024.

“Pentadbiran universiti memberi jaminan bahawa semua permohonan dan rayuan yang diterima akan disemak dan diproses dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) telah menggesa pentadbiran UM memansuhkan Zero Balance Policy yang baru dilaksanakan kerana ia membebankan pelajarnya.

Pihak itu mendakwa, pelajar diwajibkan membayar yuran penuh untuk mengaktifkan status mereka sebagai ‘pelajar aktif’ dalam pendaftaran kursus di bawah pelaksanaan polisi tersebut.

“Pelajar yang tidak mampu menyelesaikan yuran mereka tidak dapat mendaftar untuk kursus dan modul dalam semester yang akan datang.

“Walaupun dasar berkenaan bertujuan untuk mengumpul hutang pelajar, KMUM percaya bahawa dasar itu menindas hak pelajar, tidak adil dan harus dihapuskan serta-merta,” ujarnya.

Sementara itu, Pertubuhan Jasanusa menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera campur tangan dalam menyelesaikan isu Zero Balance Policy kerana dasar itu didakwa bukan sahaja boleh mengancam kesinambungan mahasiswa untuk meneruskan pengajian di universiti itu malah turut memberi imej buruk terhadap sektor pendidikan tertiari negara.

Presiden Pertubuhan Jasanusa, Samsudin Awang yang membuat gesaan itu berkata, sungguhpun universiti awam (UA) telah diberi kuasa autonomi di bawah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara untuk mengurus sumber kewangan mereka sendiri, namun kebebasan itu tidak bermakna pengurusan UA boleh terus hilang sifat tanggungjawab sosial dan kemanusiaan sebaliknya hanya fokus terhadap keuntungan perniagaan semata-mata. – MalaysiaGazette

KPT digesa segera campur tangan isu ‘Zero Balance Policy’ Universiti Malaya