Bas ekspres dua tingkat terbabas langgar pokok di Kuala Lipis awal pagi tadi. - Gambar ihsan: JBPM Pahang.

KUANTAN – Seorang anggota bomba antara tiga individu terkorban apabila bas ekspres dua tingkat terbabas dalam kejadian di Merapuh, Kuala Lipis awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian berlaku pukul 1.55 pagi.

“Bas ekspres dua tingkat itu dinaiki 20 orang termasuk dua pemandu dari arah Kuala Krai menghala ke Kuala Lumpur.

“Apabila tiba di susur keluar Kampung Kubang Rusa, Merapoh, bas itu didapati terbabas dan melanggar pokok mengakibatkan terdapat penumpang yang tersepit,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kemalangan itu, pemandu bas tersebut, Ab Aziz Daud, 56; dan dua penumpang telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Syukri Mat Noor, 55, yang merupakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai serta seorang lagi penumpang seorang lelaki warganegara Bangladesh bernama Hossain Kamal, 41.

Jelas Zulfadli, seramai 24 pegawai dan anggota bomba dari BBP Kuala Lipis, BBP Gua Musang dan PBS Merapuh terlibat dalam usaha menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Gua Musang manakala mayat tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kuala Lipis.- MalaysiaGazette