PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung calon jurulatih baharu ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.
Timbalan Presidennya Datuk S. Sivasundaram berkata sebarang pengumuman lanjut mengenai calon pengganti E. Elavarasan yang melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Muda itu akan dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman.
“Sabar, pengumuman (pengganti Elavarasan) akan dilakukan Setiausaha Agung FAM dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan FAM di sini hari ini.
Isnin lepas, Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkaitan hala tuju pasukan Harimau Muda selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.
Pada 1 Sept tahun lepas, Elavarasan diumum sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan baharu bagi menggantikan Brad Maloney dan pada masa sama masih memegang jawatan pembantu Pan Gon dalam skuad senior negara.
FAM pada ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan Gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan skuad senior dan skuad B-23 negara.
Di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac, diikuti mara ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand bulan lepas, dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.
Sementara itu, Sivasundaram menghargai kerjasama antara FAM dan PPUM menerusi perjanjian MOU selama lima tahun yang dapat memberi manfaat kepada pemain kebangsaan mendapatkan rawatan terbaik di pusat perubatan tersebut.
Pengarah PPUM Prof Dr Nazirah Hassan yang menyambut baik MOU dengan badan induk bola sepak negara itu pula optimis kerjasama strategik kedua-dua pihak dapat membuka ruang buat pihaknya memberi kesedaran dalam program pemulihan kecederaan selain meneroka lebih banyak lagi penyelidikan perubatan berkaitan sukan.
“Untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang, kita perlu menitikberatkan penyelidikan bagi memastikan PPUM sentiasa menjadi barisan hadapan dalam bidang perubatan,” katanya.- BERNAMA