Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) menjelaskan isu sekatan FIFA telah pun selesai melibatkan bekas pegawai asing pasukan pada April lalu.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, mereka mengambil maklum perkara yang ditularkan berkenaan sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA atau FIFA Transfer Ban.

“Sepatutnya isu ini tidak perlu dimainkan oleh kerana perkara ini telah diselesaikan sepenuhnya oleh pihak TFC pada April 2025 yang lalu.

“Ia melibatkan bekas pegawai asing pasukan dengan TFC apabila timbul sedikit pertikaian berkait bayaran elaun yang melibatkan lima angka sahaja,” kata kenyataan itu.

TFC menambah, pengesahan pembayaran yang memakan masa hampir lima hari telah pun diperakui oleh FIFA dan sepatutnya tidak timbul sebarang isu kerana tempoh itu telah berakhir.

“Pengesahan penyelesaian penuh telah diperakui FIFA pada 21 April 2025 dan memberi masa lima hari kepada penuntut mengesahkan bayaran.

“Sepatutnya hal ini tidak timbul oleh kerana tempoh tersebut telah berlalu,” katanya.

Pihak pengurusan kelab juga berharap agar orang ramai dapat memahami dan jelas dengan prosedur tatacara kes apabila melibatkan FIFA serta penjelasan yang diberikan pihak TFC.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan dakwaan TFC adalah antara tiga pasukan baharu yang berada di dalam senarai sekatan perpindahan oleh FIFA.

Ia berdasarkan semakan di pangkalan data badan induk bola sepak antarabangsa itu yang menyaksikan Terengganu dikenakan hukuman tersebut bermula pada 14 April yang lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast