Penganjur Mid-Autumn Festival, Dr Jason Hee bergambar kenangan bersama selepas sidang media mengenai Mid-Autumn Festival 2023 di Subang Perade, Subang Jaya. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

SUBANG JAYA – Orang ramai berpeluang untuk menyertai pelbagai program yang diatur sempena penganjuran Festival Pertengahan Musim Luruh 2023 yang akan diadakan akhir bulan ini hingga 1 Oktober di pusat beli-belah Subang Parade, di sini.

Presiden Persatuan Fesyen, Model dan Ratu Cantik Malaysia (MFMPA), Dr. Jason Hee berkata, program berkenaan diadakan sempena sambutan Hari Malaysia dengan pelbagai acara menarik disusun bagi memberi kelainan terhadap fiesta kebudayaan yang unik kepada masyarakat di negara ini.

Katanya, antara acara menarik itu ialah persembahan tarian singa, pameran dan gerai, pertunjukan fesyen budaya, pameran dan pertandingan tanglung, pratonton minggu fesyen Selangor, pertunjukan fesyen persembahan kebudayaan Cina dan demonstrasi membuat kuih bulan.

Turut diadakan kata beliau, pertandingan fotografi yang mana peserta boleh merakamkan gambar daripada kebudayaan yang ditonjolkan menerusi program tesebut.

“Kami berhasrat untuk mempamerkan kekayaan budaya, kepelbagaian dan menekankan tentang kepentingan warisan budaya Cina kepada masyarakat Malaysia.

“Selain itu, ia juga mampu mempromosi, mendidik dan memelihara budaya Cina Malaysia, terutamanya kepada golongan generasi muda.

“Kami percaya dalam mengetengahkan tradisi kami ia juga dapat memastikan generasi muda menghargai dan terus memelihara warisan budaya yang ada,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Jason berkata, festival tersebut bukan hanya sekadar acara, sebaliknya ia adalah perayaan identiti bersama bagi menunjukkan perpaduan dan keindahan budaya yang pelbagai.

“Kami menjemput semua rakyat Malaysia dan pelawat untuk menyertai kami di Pusat Beli-belah Subang Parade pada 30 September dan 1 Oktober untuk mengambil bahagian dalam ekstravaganza budaya ini.

“Marilah kita menerangi malam dengan semangat perpaduan dan penghargaan budaya yang menjadikan Malaysia benar-benar istimewa,” ujarnya.

Dr Jason Hee

Perayaan Pertengahan Musim Luruh juga dikenali sebagai Perayaan Kuih Bulan yang merupakan salah satu perayaan paling penting dalam tradisi masyarakat Cina.

Ia disambut secara meluas di seluruh China, Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, Vietnam, Kemboja, Malaysia, Indonesia, dan Thailand.

Memandangkan kebanyakan negara meraikan perayaan ini yang agak berbeza, Festival Pertengahan Musim Luruh 2023 yang bakal diadakan itu akan merangkumi pendekatan terhadap budaya masyarakat di negara ini.

Pengunjung boleh melihat limpahan tanglung berwarna-warni yang menerangi pusat beli-belah sebagai simbolik kepercayaan yang melambangkan pertemuan semula dan nasib baik.

Festival itu akan disi dengan pelbagai agenda termasuk pameran, gerai dengan kepelbagaian persembahan kebudayaan yang membolehkan pengunjung merasai kemeriahan pertengahan musim luruh terbaik Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast