Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa Kerajaan Perpaduan mencari solusi bagi menangani masalah inflasi dalam negara.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong dalam satu kenyataan media berkata, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli diingatkan agar tidak meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu rakyat dengan menyalahkan mereka menghabiskan pendapatan bulanan untuk makan di luar.

Jelasnya, kenyataan yang sering ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi bahawa kadar inflasi di Malaysia sudah menurun adalah satu pembohongan sedangkan rakyat tidak dapat merasai kadar inflasi yang dilaporkan hanya dua peratus.

“Adakah Rafizi menyalahkan rakyat yang menyebabkan masalah inflasi berlaku di negara kita?

“Rafizi kena terima hakikat serta lihat dengan teliti bahawa kadar inflasi tidak turun sama sekali serta tidak mencari alasan bagi melarikan diri daripada tanggungjawab di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Perpaduan gagal menangani masalah inflasi yang berlaku di negara kita, tetapi jangan pula salahkan rakyat kerana menghabiskan pendapatan bulanan mereka dengan makan di luar dan menjadi lebih sensitif terhadap inflasi mendadak pada harga makanan yang dimasak,” katanya, hari ini.

Tambah Tong Keong, Menteri Ekonomi itu sepatutnya mengambil tahu dan memahami isu kenaikan harga barang dalam negara sebelum mempertikaikan tabiat rakyat suka makan luar.

“Adakah dengan menyalahkan rakyat suka makan di luar merupakan satu lagi formula ekonomi Rafizi?

“Mengapa tabiat rakyat yang suka makan di luar tidak menjadi masalah semasa zaman pemerintahan Perikatan Nasional (PN)?” katanya.

MalaysiaKini pada Isnin lalu melaporkan Razimi berkata, rakyat di negara ini ‘ketagihan’ untuk makan di luar dan membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka setiap bulan untuk memuaskan tabiat itu.

Meletakkan kesalahan itu atas dasar-dasar sebelum ini,  Rafizi berkata, berbanding dengan ekonomi lain seperti Korea Selatan, isi rumah Malaysia membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membungkus dan makan di luar, yang mengakibatkan penyusutan pendapatan boleh belanja mereka. – MalaysiaGazette