R. Darvnrajh

ALOR GAJAH – Identiti mayat yang ditemui berulat dan hampir reput dengan 18 kesan tikaman di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning, di sini, Sabtu lalu disahkan sebagai R. Darvnrajh, 24.

Lelaki itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Tampin, Negeri Sembilan sejak 10 September lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ia disahkan selepas mendapati keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang 99.99 peratus sepadan dengan sampel ibu bapa mangsa.

“Mayat mangsa akan diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya, di sini, hari ini.

Isnin lalu, media melaporkan penemuan mayat terbabit yang disedari orang awam apabila terhidu bau busuk di kawasan semak kira-kira jam 10 pagi sebelum menghubungi Balai Polis Pulau Sebang.

Menurut Zainol, keputusan bedah siasat mendapati mangsa  dibunuh dan punca kematian adalah kecederaan parah akibat objek tajam termasuk pada bahagian leher dan dada.

Menurutnya, banyak tisu badan yang telah hilang akibat proses pereputan dengan 18 kesan luka tajam di bahagian leher, dada serta kedua-dua belah kaki dan tangan selain retak tulang rahang dan tengkorak.

Pada masa yang sama, katanya, polis menerima satu laporan dibuat keluarga Darvnrajh di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin berkaitan kehilangan lelaki itu.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan kesedihan seorang wanita, K. Vathma, 55, mengenai kehilangan anak sulungnya, R. Darvnrajh, yang dipercayai dibunuh.

Sebelum itu, anaknya keluar menonton wayang bersama rakan pada malam 9 September lalu. – MalaysiaGazette