Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Kumpulan, World Trade Centre Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menjadi rakyat Malaysia pertama menjadi ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

Beliau juga merupakan rakyat pertama negara ini yang menjadi Pengerusi Persidangan & Pameran Majlis Anggota Penasihat (MAC) WTCA.

Irmohizam merupakan antara 18 calon yang bertanding untuk 12 kerusi terbuka Lembaga Pengarah WTCA dan rangkaian WTCA mempunyai lebih daripada 340 anggota daripada 90 buah negara di seluruh dunia.

Pemilihannya sebagai ahli Lembaga Pengarah WTCA mencerminkan sumbangan dan kepimpinan luar biasa beliau dalam industri Acara Perniagaan (BE) di peringkat global, kata satu kenyataan baru-baru ini.

Pengalaman dan kepakaran Irmohizam yang luas menjadikannya seorang tokoh yang disegani dalam bidang tersebut.

Selain itu, beliau turut berkhidmat dengan aktif sebagai ahli Lembaga Penasihat bagi Persatuan Penganjur & Pembekal Konvensyen & Pameran Malaysia (MACEOS).

Peranan beliau sebagai Pengerusi Persidangan & Pameran Majlis Anggota Penasihat (MAC) WTCA juga mengesahkan statusnya sebagai peneraju dan tokoh terkemuka dalam industri BE, dan mengukuhkan lagi kehadiran Malaysia di pentas global.

Irmohizam dalam kenyataan yang sama melahirkan rasa bangga dan berbesar hati dengan peluang yang diberikan untuk berkhidmat dalam Lembaga Pengarah WTCA.

“Ini merupakan pencapaian penting bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk Malaysia dan ia mencerminkan kekuatan dan potensi negara kita dalam komuniti acara perniagaan global.

“Saya komited untuk bekerja tanpa jemu untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam industri ini dan menjadikan kita lebih kuat sebagai salah satu pemain industri. Kita mampu untuk bersama-sama mencipta perkara yang hebat untuk negara kita dan komuniti perniagaan antarabangsa” ujarnya.

Irmohizam telah dijemput untuk menyertai Ahli Lembaga Pengarah WTCA yang lain pada bulan hadapan di New York, Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah WTCA yang pertama bagi sesi baru ini dan juga menghadiri WTCA Member Forum 2023.

Antara Ahli Lembaga Pengarah WTCA yang baru dilantik termasuk Vijay Kalantri (WTC Mumbai), Catherine Lee (WTC Suzhou), Christina Shen (WTC Shenyang), Vineet Verma (WTC Bengaluru), Freerk Faber (WTC Twente) dan beberapa orang lain lagi. – MalaysiaGazette