Lori membawa muatan tong gas terbabas dan terbalik di bahu jalan hadapan Surau Saujana Impian di Kajang dalam kejadian tengah hari tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu dan kelindan lori tercedera selepas kenderaan yang membawa muatan tong gas itu terbalik di  Jalan Impian Gemilang, Saujana Impian, Kajang hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 12.32 tengah hari.

“Bertindak atas panggilan itu, sepasukan anggota bomba dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang telah dikejarkan ke lokasi kemalangan tersebut.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori seberat dua tan yang membawa muatan tong gas dipercayai telah hilang kawalan dan terbalik di bahu jalan hadapan surau di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Mukhlis, akibat kejadian itu pemandu lori berkenaan dan pembantu dan kelindan terperangkap dalam lori tersebut.

“Kedua-dua mangsa lelaki warga tempatan berusia 40 tahun telah berjaya dikeluarkan dan diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi nahas sebelum pihak bomba sampai ke lokasi tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tangan,” ujarnya sambil menambah mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast