Gambar hiasan

NEW YORK – Meskipun wujud persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China selain berlaku ketegangan di Laut China Selatan dan peningkatan ketara pelaburan China di Malaysia sejak kebelakangan ini namun, AS kekal menjadi pelabur utama negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia ialah sebuah negara merdeka justeru, mengalu-alukan perdagangan dan pelaburan daripada semua pihak.

Pentadbiran AS dahulu dan sekarang sentiasa menyokong dan menjadi sekutu tradisional, katanya.

“Kami juga mempunyai hubungan yang sangat erat dengan China. Saya berasa selesa apabila bertemu Presiden Xi Jinping, dan telah bertemu tiga kali dengan Perdana Menteri Li Qiang,” katanya ketika sesi soal jawab pada acara Invest Malaysia New York di sini, pada Khamis.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucap tama Regaining Malaysia’s Lead in Asia (Mengembalikan Penerajuan Malaysia di Asia) pada acara anjuran Bursa Malaysia itu.

Anwar kini berada di sini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Lebih 100 wakil daripada syarikat utama AS dan pengurus dana menghadiri acara Invest Malaysia itu selain perbincangan meja bulat dengan syarikat Fortune 500 yang diadakan sebelumnya.

“Bagi saya situasi ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang unik untuk memanfaatkan dan meraih faedah daripada hubungan kami dengan AS dan China,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata negara memperoleh manfaat daripada pelaburan besar oleh syarikat AS seperti Amazon Web Services, Boeing dan Intel yang semuanya berkembang secara besar-besaran di Malaysia.

Malaysia, kekal sebagai antara negara yang mempunyai infrastruktur terbaik di rantau ini, dan sentiasa melaksanakan langkah untuk membantu pelabur yang bimbang mengenai isu seperti aspek mudah menjalankan perniagaan, prosedur kewangan dan rasuah, katanya.

Pada 2022, AS menyumbang kepada aliran masuk bersih tertinggi ke Malaysia, dengan nilai berjumlah kira-kira RM37.8 bilion.

Pada Ogos lepas, Duta Besar AS di Malaysia, Brian McFeeters (berkhidmat di Malaysia sehingga 24 Ogos, 2023) berkata syarikat AS telah membuat komitmen pelaburan bernilai RM100 bilion dalam pelbagai sektor di Malaysia sejak 18 bulan lepas.

Beliau berkata itu merupakan pelaburan besar dalam bidang yang AS mahu memperkukuh kehadirannya, iaitu sektor elektronik dan semikonduktor, serta segmen pusat data yang merupakan bidang pertumbuhan besar.

— BERNAMA