Akmal Nasrullah Mohd Nasir

MELAKA – Sebanyak sembilan daripada 22 projek Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di seluruh negara yang dikategorikan sebagai projek sakit atau bermasalah berjaya dipulihkan setakat 31 Julai lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sembilan projek berkenaan merangkumi 6,406 unit kediaman yang kini dalam proses penyerahan kunci kepada pembeli.

“Sebagai contoh PR1MA Melaka Tengah 2 dan Klebang 2 ini kita sasarkan untuk selesai suku pertama tahun depan, malah kalau lagi awal lebih baik.

“Sasaran ini memang jelas untuk projek sakit di bawah PR1MA yang mana kita cuba selesaikan semua ini dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tiga tapak projek PR1MA yang dikategorikan sebagai sakit di Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan khas yang diwujudkan KPKT bagi mengenal pasti projek rumah lewat, sakit dan terbengkalai kini menyasarkan baki 13 lagi projek sakit yang merangkumi 9,528 unit kediaman untuk disiapkan akhir tahun depan.

“Kita optimis semua projek PR1MA berkenaan iaitu Residensi Klebang 2, Residensi Melaka Tengah 2 dan Residensi Bukit Katil merangkumi 2,187 unit kediaman dijangka siap sepenuhnya suku pertama tahun hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast