Seramai 30,893 pelajar Ijazah Sarjana Muda yang bakal memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) Oktober ini menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500.

KUALA LUMPUR – Seramai 30,893 pelajar Ijazah Sarjana Muda yang bakal memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) Oktober ini menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha menjayakan agenda pendidikan negara sekaligus memastikan tidak ada pelajar yang tercicir memasuki IPTA kerana faktor kewangan.

“Pemberian WPP ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT dimana semuanya memerlukan sumber kewangan yang tinggi.

“Gunalah peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan tunjukkanlah rasa terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, WPP tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM46.34 juta.

Menurut Norliza, WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan semasa memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA.

Sejak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat.

Katanya lagi, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan menerima wang tunai di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) seluruh negara mulai 19 September 2023.

“Pelajar perlu membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan),” tambahnya.

Ujar beliau, tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 19 September 2023 hingga 18 November 2023.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast