KUALA LUMPUR – Jutawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan atau lebih lebih popular dengan panggilan Azlan Al Amin yang genap berumur 36 tahun hari ini tampil memberikan kejutan kepada para pengikutnya di media sosial.
Mohd Azlan yang berjaya menjadi jutawan hartanah daripada kerja asalnya seorang pengutip sampah di Besut, Terengganu telah membeli dua buah motosikal jenis Modenas Kriss untuk tujuan itu.
Sempena hari jadi ke-36 ini, beliau juga turut menaja seorang pengikut bertuah pakej menunaikan umrah selain menyediakan wang tunai untuk 30 pengikut laman sosialnya.
Bagaimanapun Mohd Azlan beliau tidak memilih pengikut secara rawak sebaliknya turut meneliti keperluan mereka selain mahu bersedekah dan menyumbang kepada golongan memerlukan.
“Jika anda lihat, dua buah motor ini telah saya serahkan dua orang yang benar-benar memerlukannya bagi kehidupan seharian mereka. Yang pertama, saya sumbang kepada seorang guru al- Quran yang berasal dari India dan sudah menetap di Malaysia lebih 20 tahun.
“Saya juga telah berkesempatan untuk bergaul mesra dengan beliau untuk rujukan agama. Motosikal kedua saya serahkan kepada seorang pemuda yatim juga seorang ustaz berusia 26 tahun. Dia berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti Islam.
“Namun pemuda ini seringkali menggunakan perkhidmatan Grab untuk ke sana sini, insya-Allah dalam kerjanya terutamanya berkaitan agama ini akan dapat dipermudahkan dan saya serta seisi keluarga akan dapat limpahan itu,” katanya.
Mohd Azlan juga mendedahkan dirinya akan memilih seorang lagi follower atau penyokong bertuah bagi menunaikan umrah dalam masa terdekat ini.
“Ini juga pahala buat saya, biarlah saya buat kebaikan seperti ini. Nanti saya juga akan beri sumbangan wang tunai dan kemungkinan ada lagi inisiatif lain kelak.
“Motto dan pegangan saya hanya satu, kita bantu selagi yang boleh,” ujarnya.
Untuk makluman Mohamad Azlan bangkit daripada kemiskinan bermodalkan RM1.30 sahaja pada tahun 2010.
Beliau yang dulunya hanya bekerja sebagai pengutip sampah melahirkan rasa syukur dengan kejayaannya bergelar jutawan hartanah berjaya.
Malah beliau menjadi bualan hangat apabila mula menggunakan helikopter peribadi bagi tujuan memudahkan pergerakannya ke seluruh negara selain sesekali membawa warga kampung di Besut bersiar-siar.
Kisah hidupnya sentiasa menjadi menjadi inspirasi kepada umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini malah pernah dibukukan untuk tatapan umum. -MalaysiaGazette