Lai Thong Fat bersama isterinya, Tan Doon Tieng bersama kereta yang dimenangi dalam Kempen Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 CASA-i anjuran MBSB Bank Raikan Pemenang Bertuah di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – “Mulanya terima panggilan, saya tak jawab kemudian dia (bank) call lagi beritahu menang kereta. Saya tak percaya kerana ingat sindiket penipuan.”

Itu cerita pemenang bertuah Kempen Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 CASA-i (SBMB 2.0) oleh MBSB Bank Raikan Pemenang Bertuah, Lai Thong Fat.

Lelaki berusia 67 tahun itu memenangi hadiah utama kereta Mercedes Benz GLC 300 bernilai RM400,000.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, selepas pihak MBSB Bank berjaya meyakinkannya dan melihat sendiri urusan dokumen kereta yang dimenanginya baru beliau percaya kereta berkenaan adalah miliknya.

Beliau yang telah membuat simpanan sejak tahun empat tahun lalu tidak menyangka akan memenangi hadiah utama daripada MBSB Bank.

Jelasnya, faedah yang begitu menguntungkan menjadikan MBSB Bank sebagai pilihannya.

“Saya memang tidak sangka menang kereta mewah ini. Sampai sekarang pun saya tak percaya tetapi bagaimanapun sudah tentu saya gembira memandangkan inilah kali pertama saya menang cabutan bertuah dengan hadiah paling mewah yang pernah saya terima,” katanya ditemui di Kempen Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 CASA-i oleh MBSB Bank Raikan Pemenang Bertuah di sini hari ini.

Selain itu, pemenang lain, Tang Sim Cheow dan Tho Yah Sek masing-masing menerima pakej percutian ke Eropah dan Sim Peck Lim membawa pulang alat memasak moden, Thermomix.

Sementara itu, Ketua Saluran Pengagihan Cawangan MBSB Bank, Mohd Izham Ahmad berkata, seramai 17 pemenang bertuah diberi penghargaan pada penyampapaian hadiah SBMB 2.0 anjuran MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) di Mydin Mall Mutiara Rini hari ini.

Kempen SBMB 2.0 mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 70,000 pelanggan membuka akaun baharu di seluruh negara.

“Peserta hanya perlu membuka akaun simpanan atau Akaun Semasa Primewin-i dengan deposit minimum sebanyak RM100 untuk melayakkan diri memenangi cabutan bertuah,” katanya.

Mohd Izham Ahmad (Dua dari kiri )bersama pemenang utama Kempen Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 CASA-i anjuran MBSB Bank Raikan Pemenang Bertuah hari ini.

Kempen SBMB 2.0 yang bermula 1 September 2022 dan berakhir pada 31 Mei lalu mempunyai lapan kategori cabutan iaitu, bulanan, suku tahunan, digital, simpanan baharu, kesetiaan, serantau, khas dan hadiah utama.

Mohd. Izham berkata, sebagai menghargai kesetiaan pelanggan, MBSB Bank merancang akan meneruskan kempen SBMB 3.0 pada masa akan datang dengan menawarkan hadiah-hadiah lebih lumayan.

“Kami syukur atas sokongan pelanggan terhadap SBMB 2.0 dan kempen membuka peluang untuk kami raian kesetiaan dan kepercayaan pelanggan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast