Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin menafikan dakwaan mengaitkan beliau dan isteri dalam rasuah mencetak buku bernilai RM80 juta.

Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, tular di media sosial tuduhan bahawa beliau telah meluluskan projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah.

“Saya ingin tegaskan tuduhan-tuduhan terkandung di dalam mesej tular tersebut yang mengaitkan saya dan isteri saya dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah adalah tidak benar sama sekali.

“Isteri saya juga bukan seorang kerabat diraja dan beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan mahu pun kepentingan di dalam syarikat yang dinyatakan di dalam mesej yang tular tersebut,” katanya.

Menurut Radzi, dakwaan yang dilemparkan dalam mesej WhatsApp berkenaan adalah untuk memberi gambaran buruk terhadap diri beliau.

Radzi mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu itu adalah disebabkan arahan pihak tertentu berikutan kenyataan beliau dalam Parlimen minggu lalu.

“Jelasnya sekali bahawa pihak SPRM sedang bertindak atas arahan pihak atasan kerana pernyataan-pernyataan saya di Parlimen pada hari Selasa, 19 September lalu.

“Jelasnya kepada saya bahawa mesej WhatsApp karut yang tular ini sedang digunakan semata-mata untuk menjejaskan reputasi dan imej saya dan untuk menindas bekas pegawai saya yang tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan ditahan SPRM kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta membabitkan sebuah kementerian.

Suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an. Mereka ditahan pukul 11 malam tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Sumber berkata, projek itu membabitkan percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Manakala Dewan Rakyat Selasa lalu kecoh apabila Radzi bangkit meminta Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.

Berlaku perbalahan di antara Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) apabila Anwar mengeluarkan kenyataan membabitkan Radzi.

Radzi secara berterusan meminta keadilan bagi pihaknya dan mendesak Johari agar meminta Anwar menarik balik kenyataan itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas setiausaha politik antara dua lelaki direman kes rasuah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast