KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha politik menteri antara dua lelaki yang ditahan reman bagi siasatan kes meminta dan menerima rasuah bagi meluluskan projek percetakan buku bernilai lebih kurang RM80 juta.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua suspek ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pukul 11 malam semalam.

Bekas setiausaha politik yang merupakan suspek pertama berusia 20-an dan suspek kedua berusia lewat 50-an dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan untuk meminta rasuah menerusi sebuah syarikat sebagai balasan pemberian kontraktor projek percetakan secara rundingan terus.

Katanya, syarikat tersebut adalah milik suspek kedua.

Sementara itu  perintah reman selama empat hari dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah Halid bagi kedua-dua suspek selepas menerima permohonan daripada SPRM pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Dalam masa yang sama beliau berkata kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette