CYBERJAYA – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu digunakan sebaik-baiknya untuk memerangi jenayah berkaitan sindiket jenayah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penguatkuasaan akta sedia ada khususnya melibatkan kesalahan jenayah seperti kontraban (rokok dan arak) dilihat kurang berkesan dalam membanteras aktiviti penyeludupan.
“Saya melihat perkara ini tidak akan ke mana, jenayah melibatkan sindiket ini perlu menggunakan undang-undang SOSMA, baru kita boleh tangkap dan atasi keseluruhan sindiket ini,” katanya pada Seminar Keselamatan Sempadan Negara 2023:Pengukuhan Keselamatan Sempadan Negara Strategi dan Tindakan, di sini, hari ini.
Menurutnya, sewaktu menjadi Ketua Polis Johor, penggunaan SOSMA dilihat sangat berkesan dalam memerangi sindiket penyeludupan rokok yang mana setiap tangkapan yang dilakukan bukan sahaja melibatkan tekong-tekong malah ada juga daripada anggota pihak berkuasa.
“Sekiranya dahulu kita ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun ia telah dimansuhkan, dan dengan SOSMA ini haruslah digunakan secara meluas dalam memerangi jenayah ini secara lebih serius dan menyeluruh,” ujarnya.
Tambah beliau, tugas mempertahankan undang-undang negara yang sedia ada merupakan tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya terletak di bahu Polis Diraja malaysia (PDRM).
“Kita lihat negara luar seperti Singapura, yang mana jenayah melibatkan dadah misalnya, jika kamu dikesan membawa masuk dadah, tindakan undang-undang yang dikenakan di sana amat tegas.
“Dalam konteks undang-undang, kita perlu ada keberanian untuk melaksanakan dan mengambilnya mengikut peruntukan yang sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette