HANGZHOU – Penantian Malaysia untuk pingat emas sulung Sukan Asia berlanjutan, apabila pasukan e-sukan negara gagal mengatasi China pada peringkat akhir Arena of Valor , malam ini.
Dalam penentuan pingat emas di Pusat E-Sukan Hangzhou berkapasiti 4,500 orang, peserta tuan rumah yang memiliki kelebihan dengan sokongan kuat penonton tempatan, meraih kemenangan 2-0 dalam permainan strategi berasaskan peranti mudah alih, dibangunkan oleh warga China itu.
Pasukan Malaysia diwakili Lai Chai Chein, Nicholas Ng, Yong Zhang Quan, Ong Jun Yang, Eng Jun How dan Chong Han Hui tewas kepada barisan pemain China terdiri daripada Sun Linwei, Luo Siyuan, Chi Xiaoming, Xu Bicheng, Jiang Tao dan Li Heng.
China merangkul emas bersejarah e-sukan yang membuat penampilan sulung sebagai acara yang ditawarkan pingat pada edisi temasya itu kali ini.
Sukan itu sebelum ini dianjurkan sebagai sukan demo pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Malaysia mara ke pusingan akhir selepas menundukkan Vietnam 2-0 dalam separuh akhir semalam, manakala China mengetepikan Thailand juga 2-0.
Terdahulu, Thailand mengalahkan Vietnam 2-0 untuk membawa pulang gangsa.
Pengurus pasukan Wong Kang Woon berkata meskipun telah mencuba bersungguh-sungguh, anak buahnya tidak dapat menandingi kemahiran dimiliki para pemain China.
“China ialah kuasa besar dalam permainan ini dan kami masih mencuba untuk sampai ke tahap itu, mencabar mereka bagaikan cucu mencabar datuk.
“Kami kecewa tidak dapat memberikan emas pertama buat Malaysia walaupun telah mencuba yang terbaik,” katanya.- BERNAMA
tak hairan sikit pun bila China menjuarai!