Rumah kelahiran seniman agung Tan Sri P Ramlee di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Atap siling rumah seniman agung P Ramlee yang didakwa mengalami kebocoran dijangka dibaiki pada Sabtu ini.

Jurucakap Arkib Negara Pulau Pinang berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu dan langkah untuk memanggil kontraktor bagi melakukan kerja-kerja membaik pulih telah dilakukan.

“Kerosakan pada atap siling bahagian ruang tamu rumah kelahiran P Ramlee itu berlaku susulan cuaca angin dan hujan di negeri sejak seminggu dua ini.

“Kawasan (ruang tamu) itu terdedah tanpa lindungan pokok berbanding bahagian lain termasuk dapur sebab itu bila cuaca tidak menentu ia mudah mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, usaha untuk membaiki kerosakan itu telah kita lakukan dengan memanggil kontraktor dan kita jangka Sabtu ini kontraktor akan datang untuk kerja-kerja membaik pulih,” kata ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Tentu roh P Ramlee sedih lihat keadaan rumah pusakanya – Rais Yatim

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menggesa jabatan berkenaan segera memperbaiki atap dan siling rumah kelahiran seniman agung, Tan Sri P. Ramlee di Jalan P Ramlee, di sini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Rais mendakwa, beliau mendapati terdapat kerosakan atap dan siling pada bahagian ruang rumah pusaka seniman itu ketika mengunjungi rumah terbabit Ahad lalu. – MalaysiaGazette