GEORGE TOWN – Tan Sri Dr. Rais Yatim menggesa jabatan berkenaan segera memperbaiki atap dan siling rumah kelahiran seniman agung, Tan Sri P. Ramlee di Jalan P Ramlee, di sini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Rais mendakwa, beliau mendapati terdapat kerosakan atap dan siling pada bahagian ruang rumah pusaka seniman itu ketika mengunjungi rumah terbabit Ahad lalu.
“Betul-betul terkejut bila mendapati atap dan siling rumah asal seniman agung kita ini hampir roboh lantaran kebocoran yang berlarutan.
“Keadaannya (rumah) amat menyedihkan, apatah lagi ini rumah P Ramlee, seniman idola kita.
“Tentu sekali roh ‘Ramlee’ akan menangis melihat rumah pusakanya dalam keadaan begitu terbiar,” tulis beliau.
Sehubungan itu, Rais menggesa jabatan berkenaan segera melakukan kerja pembaikan bahagian atap siling yang mengalami kerosakan.
“Wahai ketua jabatan, mailah tengok, cepat baiki dan saya taksir kerosakan ini tidak lebih daripada RM15,000,” katanya. – MalaysiaGazette