Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada program Sembang Santai Perpaduan bersama penduduk sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Kampung Manchis, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Perikatan Nasional (PN) tidak berbuat apa-apa terhadap pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) ketika mentadbir negara.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, malah usaha PH dalam mengurangkan aktiviti perjudian juga lebih baik berbanding PN ketika memerintah.

“Sebab Abang Mat bekas Timbalan Presiden Pas, boleh bercakap dalam hal Akta 355 ketika itu dia ahli Parlimen kalau dibawa usul 355 tidak dibawa sokong, Datin Seri Wan Azizah akan ditanam bersama orang Cina,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada program Sembang Santai Perpaduan bersama Setiausaha Agong UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Kampung Manschis, di sini, malam tadi.

Malah Mohamad mendakwa, usaha Pakatan Harapan lebih baik berbading PN dan ia dapat dilihat apabila bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengurangkan bilangan cabutan khas nombor ramalan kepada lapan berbanding 22 sebelum itu.

Tambah beliau, apa yang dilakukan Guan Eng wajar dijadikan contoh.

“Tapi lepas Pas bersama kerajaan jadi 8 kepada 22. Kalau macam ini dulu, baling mikrofon, geram,” katanya yang merujuk tindakannya membaling mikrofon pada ceramah di depan penjara Sungai Buloh pada 2016.

Sementara itu, Mohamad berkata, Kerajaan Perpaduan mengharapkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai sebagai sandaran jika PRK Parlimen Kemanan diadakan tidak lama lagi.

“Kita menang 7 Oktober nanti, mengharapkan Kerajaan Perpaduan mara ke hadapan, perpaduan rakyat semakin erat dan bina Malaysia lebih baik untuk masa depan cucu kita,” ujarnya.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Menurut peguam Amin Othman yang mewakili Wan Mohamad Hisham selaku pempetisyen, hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya bagi kerusi parlimen berkenaan. – MalaysiaGazette