BENTONG – Masyarakat Cina dan India di Pelangai masih memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam yakin mendapat sokongan penuh pengundi Cina dan India di Pelangai pada hari pengundian 7 Oktober nanti.
Jelasnya respon yang ditunjukkan oleh pengundi Cina dan India masih setia bersama BN dan menyatakan sokongan melihat jasa penyandang ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
“Penerimaan di kawasan kaum India dan alhamdulillah penerimaan sangat baik dan mereka teruja menerima kehadiran Kita turun berkempen.
“Masyarakat Cina sangat-sangat teruja penerimaan kehadiran kita terhadap mereka dan mereka menyatakan sokongan 100 peratus kepada calon BN,” katanya ketika ditemui media berkempen bersama masyarakat India di Sungai Gapoi, Bentong dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu Amizar berkata, kempennya memberi tumpuan kepada 3P iaitu pendidikan, perumahan dan pekerjaan pada PRK DUN Pelangai ini.
Beliau berkata akan melancarkan manifestonya dalam masa terdekat.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, arwah Johari dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu. – MalaysiaGazette