KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan suspek utama pembunuhan seorang penjual buah di hadapan rumahnya di Taman OUG, di sini, kelmarin
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan kematian seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun yang ditikam pada jam 7.40 malam 26 September lalu.
“Bertindak atas maklumat polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas 13 suspek warga asing berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun yang disyaki boleh membantu siasatan kes bunuh itu.
“Kemudian berpandukan hasil soal siasat dan maklumat tangkapan awal itu, pada jam 11 pagi tadi, polis berjaya menahan suspek utama yang diburu dalam kes bunuh ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Penjual buah maut ditikam
Tambah beliau, dengan tangkapan suspek utama itu polis berjaya menyelesaikan kes bunuh tersebut dalam dalam tempoh 48 jam.
“Kesemua suspek yang ditahan setakat ini dalam kes berkenaan sedang direman sehingga 4 Oktober ini untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini,” katanya.
Menurut Amihizam, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati. -MalaysiaGazette