Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai ditikam oleh empat suspek dalam kejadian di hadapan sebuah rumah dua tingkat di kawasan Taman OUG, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan Mers 999 daripada orang awam berhubung kejadian pukul 7.40 malam.

Amihizam Abdul Shukor

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa yang berusia 80 tahun dan bekerja sebagai seorang penjual buah mati akibat tikaman di bahagian dada.

Menurut saksi yang merupakan penyewa rumah di lokasi kejadian, simati kerap datang ke rumah tersebut yang dijadikan stor buah-buahan untuk dijual ke pasar pagi.

“Hasil daripada risikan operasi yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menangkap empat orang suspek lingkungan umur 29 hingga 53 tahun untuk siasatan lanjut dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette