Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Baharuddin Shah

BENTONG – Pas diingatkan agar tidak menyalahkan kehadiran pihak polis yang ramai kerana mereka sendiri yang ‘memanaskan’ suhu politik di negara ini.

Pengerusi Parti Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, lebih baik pihak polis bersikap sedemikian bagi menjaga ketenteraman awam bagi mengelak kemungkinan berlaku ketegangan dalam kempen pilihan raya.

Beliau perpendapat jumlah pegawai dan anggota polis yang ditempatkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai ketika ini adalah sesuai dengan keadaan semasa.

“Saya sendiri baru pulang dari meninjau suasana kempen di Pelangai. Suasana di sana agak sunyi pada sebelah malam dan kehadiran ramai orang luar untuk membantu jentera parti perlu dipantau oleh pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan penduduk setempat.

“Jadi, saya fikir sesuailah jika polis menambahkan anggota mereka untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa kehadiran terlalu ramai anggota polis memantau pergerakan jentera Perikatan Nasional (PN) pada PRK Pelangai dibimbangi meresahkan penduduk.

Dalam pada itu, Raja Bahrin menganggap Pas sendiri telah menyumbang ke arah ketegangan politik tempatan semasa di Pelangai dengan ceramah provokasi berapi-api oleh salah saorang menteri besar dalam kalangan mereka.

Menurutnya, Takiyuddin sebagai seorang peguam patut menasihati pemimpin partinya sendiri untuk mengawal daripada membangkitkan isu kententeraman awam di negara ini.

Sebagai pakar undang undang beliau seharusnya sedar betapa penting nilai keselamatan awam terutamanya apabila ramai orang luar yang tidak dikenali hadir di Pelangai.

“Politik kebencian agama dan kaum sudah patut diawasi oleh pihak berkuasa di Pelangai dan Pas telah menyumbang ke arah wujudnya situasi tersebut,” kata Raja Bahrin.

Dalam kempen di Pelangai, dakwanya, serangan keterlaluan terhadap ahli DAP berbangsa China tentang tafsiran ayat al -Quran sedangkan Dewan Penyokong Bukan Islam Pas sendiri pernah melakukan perkara yang sama.

”Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor telah membayangkan jutaan orang Islam akan membanjiri Kuala Lumpur berdemonstrasi protes ekoran insiden tafsiran al-Quran dari Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee.

”Tidak cukup dengan itu, serangan peribadi, mencarut menyentuh keadaan tubuh badan ahli DAP selain mengatakan akan ada ‘apek berseluar pendek’ mengajar agama di masjid suatu hari,” katanya.

Justeru kata Raja Bahrin, situasi yang memanaskan suhu politik tempatan lebih baik dikawal oleh polis supaya api kebencian  tidak merebak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast