Gambar hiasan

SEREMBAN – Dua lagi kakitangan perubatan awam direman lima hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah melibatkan keseluruhan RM3,500 sebagai balasan menawarkan kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital, di sini antara 2021 dan 2022.

Perintah reman terhadap dua lelaki masing-masing berusia 30-an dan 40-an itu dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa Zainab Yahaya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ardelliza Izmaryanti Shafie.

Menurut sumber, kedua-dua mereka ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan semalam susulan penahanan empat kakitangan hospital berkenaan pada Isnin lepas berkaitan kes yang sama.

Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada dua syarikat sama di antara 2021 dan 2022 yang melibatkan kira-kira 12 transaksi bank berjumlah RM3,500.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada Selasa lepas, dua daripada empat kakitangan hospital berkenaan direman enam hari selepas  dipercayai menerima rasuah berjumlah RM11,000 melibatkan 42 transaksi bank daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat antara tahun 2022 hingga kini.

— BERNAMA