KUALA LUMPUR – Peserta paling mencuri perhatian dunia, Putri Ariani, 17, hanya berjaya meraih tempat keempat sekali gus gagal bergelar jura America’s Got Talent (AGT) musim ke-18.
Bagaimanapun penyanyi cacat penglihatan dari Indonesia itu, mendapat tepukan penghargaan daripada keempat-empat juri peringkat akhir terutama ketua juri, Simon Cowell yang kagum dengan bakat luar biasanya.
“Tidak ada yang mampu menafikan fakta awak adalah peserta luar biasa, dan juga manusia luar biasa.
“Tapi pada akhirnya, ini adalah pertandingan,” ujar Cowell.
Persembahan memukaunya membawa lagu Elton John, Don’t Let the Sun Go Down on Me, di Pasadena Civic Auditorium, California, Amerika Syarikat itu turut dikagumi tiga lagi juri iaitu Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel.
Pertandingan itu menjadi milik penjaga haiwan, Adrian Stoica dan anjing kesayangannya, Hurricane.
Duo tersebut membawa pulang wang tunai bernilai AS$1 juta dan berpeluang membuat persembahan pada AGT Presents Superstars Live di Luxor Hotel and Casino di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Stoica dan Hurricane mempersembahkan kemahiran akrobatik antara manusia dan haiwan.
Sementara itu, tempat kedua diraih Anna Deguzman; Murmuration (ketiga) dan Ramadhani Brothers (kelima).
AGT adalah sebuah program realiti yang mencungkil bakat bukan hanya menyanyi tetapi juga sesuatu yang unik dan luar biasa dimiliki oleh para peserta. – MalaysiaGazette