KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak sekiranya terdapat sebarang unsur rasuah atau salah laku dalam pembekalan beras.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun pihaknya belum menerima smaklumat atau aduan berkaitan terdapat salah laku dalam pembekalan beras.
“Saya bagi jaminan jika ada pihak yang terlibat dalam isu ini terutama sekali jika ada unsur rasuah dalam pembekalan beras, ada pihak yang merasuah mana-mana pihak berkuasa, sudah tentu SPRM akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita di Maktab Penjara Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kepincangan dalam rantaian bekalan beras negara sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.
Sementara itu, Azam memberitahu, pihaknya akan mengubal strategi lebih berkesan dalam memerangi ketirisan bagi menjadikan negara aman dan bebas rasuah.
“Langkah ini akan membolehkan langkah penguatkuasaannya ke atas rasuah dimaksimumkan di negara ini dengan pencegahan yang lebih impak lagi,” ujarnya
Tambah beliau, antara strategi yang akan diberi tumpuan ialah dengan mengurangkan ketirisan selain kes yang melibatkan kehilangan dana negara.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan pihak berkuasa yang menentukan individu yang layak bertanding dalam sesuatu pilihan raya dan bukan SPRM.
“Setakat yang saya tengok SPR membenarkan mereka yang dituduh di mahkamah pun masih boleh bertanding dalam pilihan raya. Jadi kami serahkan kepada SPR sebagai satu badan yang mengawasi kepada urusan pilihan raya,” katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan bagaimana individu terlibat rasuah boleh bertanding pada pilihan raya.
Beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan calon Perikatan Nasional Parlimen Kemaman, Che Aliasd Hamid sebagai perasuah. – MalaysiaGazette