KUALA NERUS – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner enggan menyalahkan anak buahnya atas kekalahan besar di tangan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.
Walaupun gagal mengutip tiga mata berharga di laman sendiri, pengendali berusia 56 tahun itu berpuas hati dengan prestasi ramai pemain muda yang telah memberikan 100 peratus komitmen pada perlawanan tersebut.
Steinbruckner berkata, walaupun berisiko beliau terpaksa menurunkan ramai pemain muda memandangkan beberapa tonggak utama skuad Penyu dibelenggu masalah kecederaan susulan jadual perlawanan yang sangat padat.
“Sudah tentu saya tidak berpuas hati dengan keputusan itu, tetapi saya juga tidak terlalu kecewa kerana pemain muda kami memberikan 100 peratus komitmen mereka dan ini adalah pengalaman baik buat mereka.
“Hari ini (malam tadi) tiga atau empat pemain bukan daripada kebiasaan barisan kesebelasan utama kami .Tetapi saya terpaksa menukar beberapa pemain kerana kita tidak boleh beraksi dengan pemain yang sama untuk setiap perlawanan kerana masalah kecederaan,” katanya selepas perlawanan menentang skuad The Red Giants di SSMZA malam tadi.
Pada perlawanan tersebut skuad Penyu tewas 0-4 kepada Selangor FC, sekali gus meleburkan rekod 12 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Konfederasi Asia (AFC).
Dalam pada itu pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, gol pertama pada minit ke-26 memberi keyakinan serta motivasi kepada anak buahnya untuk terus mencipta kemenangan.
Bagaimanapun beliau mengakui bukan mudah untuk menjinakkan skuad Penyu yang sebelum ini telah melakar dua kemenangan ke atas skuadnya dalam aksi Piala Malaysia.
“Pada mulanya memang kita agak tertekan untuk dapatkan kemenangan, tetapi karakter ditunjukkan pemain daripada segi kawalan bola dan pertahanan untuk pastikan kita tidak dibolosi selepas gol pertama amat baik,” katanya.
Kemenangan tersebut membolehkan Selangor FC kekal di tangga kedua Liga Super dengan 52 mata manakala TFC juga kekal ditangga keenam dengan 35 mata terkumpul. – Bernama